Bacalah Al Quran

"Sesiapa yang membaca satu huruf dari Kitab Allah ditulis baginya satu kebajikan, setiap kebajikan digandakan sebanyak sepuluh kali ganda".
"Orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun dari al quran sama seperti sebuah rumah yang di tinggalkan kosong".

Selasa, 16 Julai 2013

Mengetuk pintu keselamatan hakiki di sisi Allah s.w.t



Manusia seringkali terleka dan terjebak dengan perkara-perkara yang membinasakan diri sendiri.Mereka kabur tentang diri sendiri dan matlamat hidup lantaran daripada kecetekan ilmu pengetahuan dan kelemamahan pandangan mata hati kerana jauh dari agama sehingga tidak mampu melihat perkara-perkara yg menyelamatkan mereka didunia mahupun akhirat.
            Manusia juga selalu tertewaskan dengan persoalan umur.Umur yang diibaratkan oleh Imam Ghazali sebagai modal utama untuk mendapatkan sesuatu samada keperluan yang mencangkupi kepentingan-kepentigan dunia ataupun ganjaran pahala dan redha tuhan di akhirat nanti.Umur sepatutnya digunakan semata-mata untuk mendapatkan redha Allah swt semata-mata.
            Bermodalkan umur yang diberikan inilah seorang manusia yang pandai menguruskan masa dapat menjadikan dirinya bernilai dan berharga bukan menjadi sampah masyarakat yang dipandang hina.Orang-orang yang  berfikir dengan baik akan menggunakan masa untuk menambahkan ilmu dan ibadat supaya dia lebih dekat dengan tuhannya.
            Selain dari persoalan masa yang pastinya akan dipertanggungjwabkan oleh Allah kepada setiap hamba-hambaNya di Akhirat kelak manusia juga terkalahkan dengan persoalan harta.Tidak mengambil berat sumber memperolehi harta apatah lagi membelanjakan pula pada jalan-jalan yang diharamkan pasti akan mengundang murka dan azab diakhirat selain harta tersebut tidak diberkati olehNya di dunia.
            Firman  Allah swt dalam surah “Katakanlah (wahai Muhammad) tidak sama  yang buruk dengan yang baik walaupun banyak yg buruk itu menarik perhatian hatimu.Bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran,supaya kamu Berjaya” Al Mukminun ayat 51
            Allah tidak akan menerima kebaikan sedekah yang bersumberkan dari yang haram sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud “siapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mensedekahkannya,maka tidak terdapat didalammya sebarang ganjaran tetapi dosanya tetap dipikulkan atasnya “.Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban di dalam kitab Soheh masing-masing.
            Manusia terpedaya dengan keseronokan harta dunia sehingga melupakan bahawa harta dunia semata-mata tidak akan mampu membahagiakannya di akhirat apatahlagi jikalau harta itu dari yang haram.Harta haram akan menyebabkan ampunya harta terhumban ke neraka.Daripada Jabir Rasulullah bersabda “Tidak akan msuk syurga daging yang tumbuh dari barang yang haram”.Hadis riwayat ibnu Hibban dalam sohehnya.
            Persoalan lain yang menjadikan manusia tertunduk hina di hadapan Allah nanti ialah perkara yang berkaitan dengan ilmu yang diamalkan.Terdapat ancaman yang amat ngeri bagi mereka yang tidak mengamalkan ilmunya dan berlainan  antara percakapan dengan perilakunya.
            Firman Allah “patutkah kamu mnyuruh manusia supaya berbuat kebajikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu sendiri padahal kamu semua membaca kitab Allah,tidakkah kamu berakal?( Al Maidah ayat 68)
            Maka benarlah apa yang telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah “Tidak akan bergerak kaki seseorang hamba pada hari kiamat,sehinggalah dia ditanya tentang lima perkara; tentang umurnya untuk apa dia dihabiskan, tentang masa mudanya untuk apa ia digunakan, tentang hartanya dari manakah dia memperolehinya  dan untuk apa dia membelalanjakannya dan tentang ilmunya apakah yang dia amalkan”.(Hadis riwayat Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini hasab soheh).

Pintu-pintu keselamatan.
            Walau bagaimana keadaan manusia di hadapan Tuhannya.Keluasan pintu rahmat Allah sentiasa terbuka dan tidak membiarkan manusia kekal dalam keadaan bersalah selagi mana manusia ingin kembali ke pangkal jalan setelah jauh tersesat dengan godaan nafsu dunia.Ketuklah pintu babahagia dan dan jendela keselamatan dariNya.
            Terdapat banyak perkara-perkara yang dikira sebagai pintu penyelamat dan juga perhiasan diri peribadi dan hati nurani sebagai tempat yang dipandang oleh Allah.Antaranya ialah:
1)Tidak berputus asa dari memohon kempuanan dariNya (taubat)
Setelah menyedari bahawa setiap dari hamba biasa pasti akan  berdepan dengan risiko kelalaian dan kealpaan ketika melayari alam bahtera kehidupan di alam fana ini yang terkadang terjebak juga dengan dosa dan noda semada sengaja atau tidak disengajakan.Makan Allah tetap memberikan pengampunan kepada sesiapa yang menginginkan pengampunannya.
Allah memerintahkan kita agar sentiasa bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya dan tidak boleh sesekali merasa bosan untuk terus bertaubat, sebagaimana kita tidak pernah bosan dan jemu melakukan perkara dosa maka demikian jugalah kita tidak sepatutnya berasa mudah jemu dan bosan mengharapkan keampuanan dariNya.
Allah berfirman di dalam surah Annur ayat 31 yang bermaksud “Dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah  wahai orang-orang yang beriman semoga kamu berjaya.
Di dalam ayat yang lain pula Allah berfirman “wahai orang-orang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat nasuha”al Tahrim ayat 8.
Berdasarkan dua ayat ini maka jelaslah perintah taubat atau kembali ke pangkal jalan ditujukan khusus kepada orang-orang yang beriman.Bersegera melakukan taubat merupakan satu tanggung jawab dan kewajipan setelah ternoda dengan dosa kesalahan dan melewat-lewatkannya dikira suatu kelalaian lain pula.
Syarat-syarat taubat
Al Imam habib Abdullah Al Haddad menukilakn didalam kitabnya Nasihat-nasihat Agama Dan Wasiat Iman bahawa taubat bukan hanya sekadar ucapan seseorang hamba dengan lidahnya “aku memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah semata-mata” tanpa timbul di dalam hatinya perasaan penyesalan diatas perbuatannya yang lepas dan meninggalkan dosa-dosa tersebut.
Ulama telah menggariskan bahawa taubat mempunya syaratnya dan tidak sempurna taubat seseorang melainkan dengannya.Syarat-syarat tersebut ialah:
1.Menyesal dengan hati atas dosa-dosa yang telah dilakukan
Dapat juga difahami di sini bahawa menyesali perbuatan salah yang telah berlaku berkait rapat dengan urusan hati.Hati memainkan peranan penting dalam hal ini.Sentiasa memohon agar Allah mengurniakan hati yang lembut.Tidak ada yang dapat melebutkan hati seseorang melainkan Allah.
2.Meninggalkan terus dosa tersebut.
Tidak ada taubat bagi orang yg berterusan melakukan dosa.Meninggalkan perbuatan tersebuat dengan hati yang tulus ikhlas kerana Allah atau kerana takut kepada kemurkaan Allah.Bukan meninggalkan dosa disebabkan oleh sebab-sebab yang lain seperti tidak mempunyai peluang untuk melakukan dosa atau terdapat halangan penguatkuasan undang-undang .
3.Berazam tidak akan kembali melakukan dosanya selagi masih hidup.
Mereka yang benar-benar ingin betaubat hendaklah berazam bersungguh-sungguh dengan kezazaman yang benar tidak mahu kembali selamanya kepada dosa itu.Jika tiada keazaman sebegini akan memungkin dia akan terjebak dengan mudah dalam perkara dosa sekalipun dia sudah berusaha meninggalkannya.
Ketiga-tiga syarat ini terpakai kepada  kesalahan melibatkan perlanggaran pada hak Allah.Sementara dosa yang berkait dengan hak manusia maka hendaklah dia meminta maaf atau mengembalikan kezaliman kepada tuannya.
Sewajarnya setiap mukmin berwaspada dari melakukan dosa kerana di dalamnya terdapat kemurkaan  Allah dan kebencianNya.Ia merupakan sebab yang mengundang bala dan kemusnahan kepada si hamba samada di dunia atau akhirat.

2)Memperbanyakkan Istighfar
            Orang yang bijak akan sentiasa memikirkan keselamatannya di akhirat.Jesteru dia akan selalu bermuhasabah akan kelakuan dan tutur kata yang diucapkan.Dia akan selalu beristighfar memohon keampunan dariAllah dan tidak akan membiarkan dirinya diselubungi oleh dosa-dosa tanpa istighfar.
            Firman Allah “Dan mintalah ampun kepada Allah ,sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha mengasihani”.Al muzammil :20
            Sabda Rasulullah “Sesiapa yang melazimkan istighfar maka Allah menjadikan untuknya bagi setiap kesedihan tempat keluar,dari setiap kesempitan jalan keluarnya,dan dia dikurniakan rezki dari sumber yang tidak disangka-sangka”.Riwayat Abu Daud,Al Nasaei.Ibnu majah dan al Hakim.
            Sesungguhnya Baginda Rasul sebagai contoh ikutan dan idola kaum muslimin telah mengajarkan kepada kita istighfar bukan hanya untuk mendapatkan pengampunan Allah semata-mata bahkan dengan istighfar menjadi sebab keluar kegundahan hati yang terhasil daripada kesedihan yang melampau.Baginda Rasul mengajar kita jalan keluar dari kesempitan hidup dan memperolehi  kurniaan rezki yang melimpah ruah dengan sebab keberkatan istighfar.
            Kesedihan hati adalah sifat biasa yang wujud pada manusia demikian juga sifat takut adalah perkara biasa bagi manusia.Bagaimana manusia dapat hidup dengan sempurna sekiranya sifat-sifat ini membelenggu dan bermain di dalam hati.Nah!istighfar inilah jawapannya untuk membuang sifat-sifat negatif ini.
            Sabda Nabi”Dan berbahagialah orang yang didapati didalam buku catatannya istighfar yang banyak”.Riwayat ibnu Majah.
            Memadailah kita mengetahui tentang kelebihan istighfar kerana manfaat dan faedah-faedahnya sangat besar dan kedudukannya agung di sisi Allah.Lantaran itulah maka Nabi kita setiap hari dan malamnya beristighfar tidak kurang dari tujuh puluh kali.
            Istighfar Baginda siang dan malam bukan kerana Baginda melakukan dosa,tidak sama sekali kerana baginda maksum dari semua kesalahan tetapi Baginda melakukan amalan tersebut kerana menginginkan ketinggian maqam orang yang selalu beristighfar di sisi Allah.Marilah kita jadikan amalam mulia ini sebagai amalam rutin dalam kehidupan kita seharian.
            Jangan sesekali membiarkan diri kita tidur dengan berselimutkan dosa disiang hari dan malamnya tanpa disirami dengan air istighfar.Beruntunglah bagi mereka yang memahami  dan mendapatkan pahala istighfar di akhirat nanti.
3)Raja’dan Khauf
            Raja’ ertinya mengharapkan Allah manakala Khauf pula ialah takut kepada Allah.Kedua-dua sifat ini sangat penting kepada setiap mukmin yang percaya kepada hari pembalasan kerana keduanya merupakan maqam terpuji.Allah telah mensifatkan para NabiNya ,para RasulNya, dan pengikut-pengikut mereka di kalangan orang-orang yang beriman dengan kedua-dua sifat ini.
            Firman Allah “Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan,dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut ,dan mereka pula sentiasa khusyu’ kepada kami”.Al Anbiaa :90
            Sifat raja’ sangat diperlukan kerana ia ibarat seperti nakhoda yang akan memandu dan membawa tuannya melakukan ketaatan dan perkara-perkara yang bersesuaian dengan Agama Islam sementara sifat khauf pula seperti pengawal yang akan mengawal seseorang dari terjebak ke dalam lembah kemaksiatan yang hina dan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama.
            Profesor Dokror Sayyid Muhammad ibnu Alawi Al Maliki Al Hasani menyebut di dalam kitabnya yang berjudul “Katakanlah Inilah JalanKu” bahawa sesiapa yang tidak ditegah oleh perasaan khaufnya daripada melakukan maksiat dan perasaan raja’nya tidak menariknya untuk melakukan ketaatan kepada Allah, maka khauf dan raja’nya hanyalah perbicaraan nafsu semata-mata ,tidak dikira dan tidak boleh dijadikan sandaran kerana kosong ia daripada hasil yang maksudkan dan faedah yang diharapkan.
            Terdapat segelintir manusia yang salah memahami makna raja’ kepada Allah sehingga mereka menghadap kepada maksiat dan berterusan berada dalam keadaan tersebut kerana berpegang dengan keluasan rahmat Allah.Kefahaman yang salah ini akan menjerumuskan seseorang ke dalam lembah kebinasaan jika dia tidak berusah memperbetulkan kesilapannya itu.
            Tidak kurang juga ramai manusia yang memahami agama berdasarkan logik akal tanpa bersandarkan ilmu-ilmu yang saheh yang diambilnya dari sumber yang benar.Agama bukan berasaskan kepada logik akal semata-mata bahkan hendaklah berpaksikan kepada sumber wahyu melalui Al Quran ,Hadis Nabi dan pendapat ulama muktabar.
            Semoga kita terlepas dari menjadi umat yang tertipu dan terpedaya dengan sangkaan-sangkaan salah yang akan menggelincirkan kita ke dalam kehancuran dan kebinasaan.Kepada Allah jua kita bermohon ..Amiin.

4) Bersabar dengan setiap ujian yang menimpa.
            Berasabar di atas setiap sesuatu ujian yang ditimpakan keatas seseorang manusia oleh Allah juga termasuk dalam antara perkara menyelamatkan dan besar kelebihannya di sisi Allah.Orang-orang yang beriman sangat-sangat memerlukan sifat sabar ini samaada ketika senang atau ketika susah.           
            Terdapat ayat-ayat dan hadis-hadis yang banyak menyebut tentang sifat sabar yang berupa suruhan atau galakan.Antaranya firman Allah “Wahai sekelian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan untuk (menghadap susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Allah) dengan bersabar dan dengan mengerjakan solat kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”.Al Baqarah 153
            Firman Allah “Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar”.Aali Imraan146
Allah berfirman kepada Nabinya “dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah terhasil kesabaranMu melainkan dengan memohon pertolongan Allah”.
            Orang  beriman amat memerlukan kesabaran terutamanya di saat menghadapi ujian yang datang kepadanya samada berupa bala bencana, musibah,kesempitan dan kesusahan hidup agar dia tidak akan mengeluh bahkan dapat menghadapinya dengan tenang serta bersangka baik dengan Allah.
            Orang mukmin sentiasa yakin setiap sesuatu yang didatangkan kepadanya dari Allah pasti aka ada kebaikan-kebaikan yang begitu banyak.Allah tidak akan menguji hambanya dengan zahir musibah melainkan akan menjadikannya dengan zahir musihah itu penghapusan dosa dan kejahatannya.Tidak akan tertimpa sesuatu kesulitan kepada orang yang beriman sehinggakan duri yang tertusuk di kaki melainkan Allah akan menghapuskan dosa dan kesalahannya.
            Kita tidak akan selamanya mengetahui sejauh mana dan setinggi mana kesabaran yang ada pada diri kita selagi kita tidak diuji dengan ujian-ujian musibah ini.Senang bagi kita menenangkan orang yang ditimpa ujian tetapi tidak senang bagi orang menanggung sendiri kesusahan di atas bahu sendiri ibarat bahu yang meminkul lebih berat dari mata yang memandang.
            Jesteru itulah Allah menjanjikan pahala yang besar dan kedudukan yang tinggi kepada mereka yang mampu bersabar dia saat dia diuji.terkadang ujian datang dalam bentuk harta, terkadang dalam bentuk keluarga dan tidak kurang juga dalam bentuk kesakitan.
            Firman Allah “sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.
            Itulah sebahagian dari sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh orang-orang  yang beriman sebagai perhiasan diri peribadi.Selagi mereka memakai pakaian taubat,mereka berhias dengan gemerlapan perhiasan istighfar,mereka mamacu langkah dengan kaki kesabaran  di samping meletak pengharapan yang tinggi kepada rahmat Allah seimbang dengan kerisauan kepada azab Allah nescaya mereka akan terus  mendaki puncak-puncak keselamatan dan kebahagian yang kekal abadi di sisi Allah.
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan