Menerima kematian sebagai takdir.
Segala puji-pujian bagi Allah swt
yang memiliki setiap kerajaan langit dan bumi.Di tanganNya segala kekuasaan ,Allah
adalah zat yang maha berkuasa menentukan segala sesuatu tanpa ada bantahan dan
bangkangan.Dialah yang menjadikan hidup dan mati sebagai ujian kepada
hamba-hambanya bagi melihat siapakah diantara mereka yang terlebih baik amal
perbuatannya.
Kematian adalah suatu hal yang pasti
terjadi kepada setiap makhluk yang bernyawa tanpa ada yang terkecuali dan tidak
ada diantara mereka yang dapat mengetahui bilakah saat dan ketikanya
kematian akan datang menjemputnya.Sebagai
hamba yang beriman wajib mempercayai saat-saat tersebut dan wajib pula
mempercayai akan perkara-perkara yang akan berlaku selepas itu.
Kematian akan memutuskan segala
kenikmatan-kenikmatan dunia dan akan meninggalkan kemewahan dan kekayaannya
begitu juga dengan sebab kemtian yang berlaku akan memutuskan sekelian kegiatan
hidup manusia.Berbahagialah mereka yang selalu mengingatinya dan selalu bersedia
dengan segala persiapan amal oleh bagi menghadapinya.Kematian adalah suatu
hakikat yang padanya kita dapat mengambil pelajaran yang sangat berguna.kita
tidak akan terperosok dalam kemabukan dunia yang hina jika kita benar-benar ingat
akan kengerian kematian bagi yang melakukan dosa.
1)Semua yang bernyawa pasti akan
merasai kesensaraan sakaratul maut.
Setiap yang bernyawa secara pasti
akan melalui dan merasai sendiri pengalaman berhadapan dengan kematian.Allah
swt tidak menjadikan dikalangan makhluknya hidup kekal buat selama-lamanya.Di
dalam al quran Allah berfirman “Kami tidak menjadikan bagi manasia sebelummu
hidup kekal,maka jikalau kamu ( wahai Muhammad) mati apakah mereka akan hidup
kekal selamanya?(surah al an a’am 34)
Ayat diatas secara jelas dan terang
menyatakan bahawa tidak ada seorang manusiapun sejak dari dulu yang dapat hidup
kekal.Kematian ini bukan hanya berlaku kepada manusia sahaja bahkan juga kepada
setia yang bernyawa sebagaimana yang di nyatakan dalam firmanNya “Tiap-tiap
yang berjiwa akan merasakan mati,kami akan menguji kamu dengan keburukan dan
kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya).Dan hanya kepada kamilah kamu
akan dikembalikan.(al anbia 35)
2)Tiada kuasa yang dapat menunda dan
mempercepatkan ajal.
Persoalan bilakah dan dimanakan ajal
kematian akan tiba tiba tidak ada seorangpun yang dapat mengetahuinya.Sama
juga seperti bilakah akan berlakunya
kiamat,tidak ada seorangpun yang mengetahui melainkan Allah swt sahaja.
Apa yang lebih penting dari mencari
jawapan bagi persoalan bila dan dimana ialah membuat persiapan rapi bagi
menghadapinya.Manusia sering terlalai dengan kehidupan dunia seakan-akan
persoalah dan hakikat mati tidak ada kene mengena denganya sedangkan usianya
pada ketika itu ibarat berada dihujung senja.
Perhatikan kepada apa yang
difirmankan oleh Allah swt “apabila telah datang ajal mereka,maka mereka tidak
dapat menangguhkan barang sesaatpun dan tidak pula mereka dapat mempercepatkan”.(yunus 49)
Jesteru kemanapun manusia pergi bersembunyi dan
menjauhkan diri atau lari dari kematian.Jika telah sampai masanya telah tiba
maka kematian itu akan menemuinya dan meragut nyawanya.Hal ini sesuai dengan
firman Allah swt “katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari darinya,maka
sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu,kemudian kamu akan dikembalikan
kepada Allah swt. Yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata lalu dia akan
beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”.(al jumuah ayat 8)
Terimalah hakikat pertemuan
itu.Sesungguhnya tidak ada kuasa yang mampu menghalang dari terjadi.Benarlah
sebagaimana yang difirmankan dalam hadis kudsi “wahai manusia! Mati itu adalah
sebuah pintu.Setiap manusia pasti akan memasukinya.
Bagaimana carapun kita cuba untuk
menghindarkan diri dari kematian,namun kematian tetap akan datang menemui kita
jika telah sampai saatnya.Manusia tidak akan sanggup menolak kedatangannya.
3)Keutamaan mengingati mati.
Sesungguhnya mengingatkan kematian
dan merenung kepada perkara-perkara yang berlaku selepasnya sangat besar
manfaat dan faedahnya kepada jiwa manusia.Terdapat banyak hadis-hadis yang
menerangkan tentang maksud demikian.Antaranya kita dapat melihat hadis yang
diriwayat oleh Tirmizi “Perbanyakkanlah kalian mengingat akan sesuatu yang akan
melenyapkan segala macam kelazatan dunia”.
Jelasnya perkara yang melenyapkan ketamakan dan
keinginan berlebihan kepada nikmat dunia yang di maksudkan didalam hadis diatas
ialah mati.Seseorang yang sentiasa berfikir tentang mati akan hidup dalam
kewaspadaan dan tidak terseret dengan permainan dan tipudaya duniawi.
Kenikmatan dunia dan keronokannya
yang di kejari pasti suatu masa nanti akan ditinggalkan tanpa membawanya walau
sedikit apatah lagi jika dunia dan harta yang diperolehi dengan cara yang tidak
dibenarkan oleh syariat.Pastinya kemewahan dunia yang tidak halal itu akan
menatijahkan kedukaan berpanjangan diakhirat kelak.
Manusia seringkali terpedaya dengan permainan dunia ini sehingga dunia
diletakkan ditempat yang paling tinggi sekali.Manusia sanggup memutuskan
pertalian keluarga,seorang sahabat menghianati sahabat,pemimpin sanggup
memperbodohkan rakyatnya sendiri,anak-anak tidak ada masa untuk kedua ibubapa
sendiri bagi menyumbang dan menghulurkan bakti,dan bermacam-macam ragam lagi
kita dapat saksikan dengan mata kepala kita hari ini.Dari sini boleh kita ambil
satu kesimpulan bahawa segala punca masalah dan kepincangan sistem hidup
manusia adalah kerana mereka merasakan bahawa mereka akan kekal hidup
selamanya.
Orang yang cerdik sebagaimana yang
disifatkan oleh Baginda Nabi saw ialah orang yang banyak mengingati mati.Sabda
Nabi “secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian
serta yag terbanyak ingatannya kepada persiapan menghadapi kematian itu.Mereka
itulah orang-orang yang benar-benar cerdik.Dan mereka akan pergi ke alam baqa
dengan membawa kemulian akhirat”.(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abi Dunia)
Ahli cerdik pandai Islam
membahagikan manusia dalam mengurus kehidupan dunia terbahagi kepada tiga
kategori.
1.Orang yang terseret ke dalam dunia.
2.Orang yang sedar dari kesilapan
lampau lalu terus bertaubat.
3.Orang yang hidup dalam kesedaran
berterusan.
Manusia yang termasuk dalam bahagian
pertama itu ialah golongan yang telah tenggelam dan larut dengan keindahan dan
kenikmatan dunia semata-mata.Mereka ini tidak akan melepaskan dunia ditangannya
walau apa keadaan sekalipun kerana mereka merasa puas dengannya.Kebiasaannya
manusia seperti ini jarang sekali mengingat akan mati.Jika ada saat-saat mereka
ingat kepada kematian maka ingatan tersebut tidak banyak membantu untuk mereka
berubah kearah keinsafan dan berataubat kembali ke pangkal jalan.
Mereka ini menyesali kematian kerana
dengan kematian akan menyebabkan mereka terpaksa berpisah dengan harta benda
dunia yang mereka kumpulkan sejak sekianlama.
Mereka
berduka kerana harta mereka terlepas ketangan orang lain.Orang yang seperti ini
akan mencela kematian disaat dia mengingat akan kematian sementara mereka akan
berusaha sedaya mungkin untuk lari dari kematian.
Golongan yang kedua pula ialah orang
yang menjadikan ingatannya kepada kematian sebagai sebab terbukanya pintu
hatinya untuk bertaubat kepada Allah swt terhadap keterlanjuran dan kesilapan
masa masa lampau.Golongan ini akan memperbanyakkan mengingati mati supaya
mereka lebih tekun bertaubat dan menambah amalan soleh sebagai bekalan hari
akhirat.
Kebahagiaan dan kesenangan yang
dicari adalah kebahagiaan akhirat yang lebih hakiki.Mereka akan lebih
bersemangat dalam hal urusan akhirat berbanding dengan hal-hal bersangkup paut
dengan dunia.Segala tindak-tanduk meraka
akan berlandaskan kepada ketakwaan dan kepatuhan mereka kpd Allah swt.
Manakala golongan yang ketiga ialah
golongan yang sentiasa terus menerus berada dalam keadaan sedar dan mengetahui
terletaknya persoalan kematian.Mereka ini akan sentiasa ingat kematian dan
tabah menghadapinya dengan hati yang pasrah dan redha.Golongan ini sentiasa
hidup dengan membuat persiapan dengan amal perbuatan yang soleh.
4)Bekalan mengahadapi kematian.
Setiap manusia yang hendak
bermusafir ke sesuatu tempat samada dekat atau jauh perjalanan tersebut pastinya akan menyediakan atau membawa
bersamanya bekalan untuk kegunaan keperluan dirinya di sepanjang perjalanan.Tanpa
membawa sesuatu sebagai bekalan akan mengundang kesukaran dan mungkin
berjalanan permusafiran tersebut akan tertangguh dan kelewatan dari apa yang
telah dijadualkan.
Demikianlah perjalanan menuju hari
akhirat yang memerlukan banyak bekalan kerana perjalanan akhirat memakan masa
yang sangat panjang.Apakah bekalan yang akan dibawa bersama nanti,adakah dengan
sejumlah wang yang banyak, perhiasan megah,anak yang ramai atau isteri yang
cantik?Jawabnya tidak sama sekali bahkan yang akan dibawa ialah amal perbutan
sendiri.
Baik buruknya nanti bergantung
kepada amalan yang telah dilakukan semasa hidup di dunia.Bekalan yang sangat
perlu dipersiapkan oleh setiap manusia untuk dibawa bersama nanti tidak lain
dan tidak bukan seperti mana yang telah disabdakan oleh Nabi saw.Baginda dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh muslim yang bermaksud “Apabila mati seorang
anak Adam(manusia) akan terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara.
1.Ilmu yang bermanfaat dengannya.
2 .Sedekah jariah(berkekalan)
3.Atau anak yang soleh yang mendoakan
baginya.
Menurut keterangan hadis diatas
jelas sekali bahawa amalan bekalan yang akan menyelamatkan manusia di akhirat
kelak ialah tiga perkara.Ilmu,sedekah dan anak yang soleh.Ketiga-tiga amalan
ini tidak akan putus sekalipun ampunya amal telah meninggal dunia ribuan
tahun.Adapun amalan-amalan soleh yang lain akan terputus(terhenti) dengan sebab
matinya ampunya amal.
Ketiga-tiga amalan yang tidak putus
ini sangat perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh selagi masih diberikan
peluang untuk hidup di dunia ini.Jangan sesekali kita menangguhkan dan
melewat-lewatkan sehingga tibanya hari penyesalan yang sudah tidak bermakna dan
berguna sebarang penyesalan.
Seeloknya marilah kita bermuhasabah
dimana kita dengan peringatan ayat Allah swt yang bermaksud “Dan belanjalah
sebahagian dari apa yang telah kami berikan kepadamu sebelum datangnya kematian
kepada salah seorang diantara kamu.Lalu ia berkata “ ya tuhanku kenapa engkau
tidak menangguhkan (kematianku)sampai tempuh yang dekat,yang menyebabkan aku
dapat bersedekah dan aku temasuk oranr-orang yang soleh.Dan Allah sekali-kali
tidak menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya.Dan
Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”.(al Munafikun 10-11)
Inilah diantara contoh ayat Allah
swt. yang menceritakan penyesalan orang yang kedekut dengan harta yang dipinjamkan
oleh Allah kepadanya semasa hidup dunia.Penyesalan ini dizahirkan dengan
permintaan mereka ingin kembali kedunia semata-ingin beramal soleh dan
bersedekah.
Mereka menyesal kerana diberikan
harta tetapi harta yang mereka miliki tidak dapat membantu dan meyelamatkan
mereka daripasa siksaan hari akhirat bahkan harta itulah juga yang menjadikan
bebanan azab yang tidak terperi sakitnya yang terpaksa ditanggung oleh
mereka.Penyesalan hanya tinggal penyesalan kerana Allah telah menyatakan
sebarang sesalan dan permohonan pada hari itu tidak akan dilayan sama sekali.
Firman Allah
dalam surah al Mukminun yang bermaksud “(demikianlah keadaan orang-orang kafir)
hingga datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata:wahai Tuhan!
Kembalikanlah aku kedunia sepaya aku berbuat amal yang soleh yang telah aku
tinggalkan.Sekali-kali tidak.Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkan
saja.Dan dihadapan mereka ada dinding pemisah (alam barzakh) sehingga sampai
hari mereka dibangkitkan”.
Ingatlah
juga kepada pesanan Nabi saw yang tercinta buat umatnya yang dicintai melalui
hadis riwawat Muslim “Tiga perkara yang akan mengikut orang yang mati
keperkuburan.Keluarganya,dan hartanya, dan amalannya.Maka akan kembali dua
darinya(keluarga dan harta)dan akan kekal bersamanya satu iaitu amalanya.
5)Sakitnya mati sebagai
peringatan.
Setiap orang
yang berkeyakinan dengan adanya mati dan tahu bahawa mati tetap akan sampai
kepadanya maka hendaklah dia membuat persiapan dan bersedia dengan segala persiapansegabgai bekalan yang
cukup dan rapi bagi menghadapinya disamping menjauhi amalan-amalan buruk dan
keji yang mengundang murka Allah kepadanya.
Pada
hakikatnya tidak ada sesiapapun yang mengetahui bilakah dia akan dimatikan dan
tidak juga mengetahui dimana dan siapakah yang akan berada di sisinya di saat
dia berada dalam sakaratul maut.
Sesungguhnya
Rasulullah telah menerangkan tentang betapa
sakit dan pahitnya mati sebagai nasihat berguna buat umatnya agar mereka
menyediakan bekal dan agar mereka dapat bersabar kesakitan-kesakitan dunia yang
mereka alami kerana kesakitan di dunia ini lebih ringan dari kesakitan akhirat.
Rasululullah
saw menerangkan bahawa sakit mati adalah sebahagian dari azab akhirat sedangkan
azab akhirat jauh lebih berat dari kesengsaraan hidup di dunia.seseungguhnya
kadar ukuran sakitnya mati atas atas orang mukmin itu adalah kira-kira seperti
tiga ratus pukulan dengan pedang.
Diceritakan
bahawa Nabi Isa Alaihissalam adalah seorang nabi yang dianugerahkan mukjizat
dari Allah dapat menghidupkan orang yang telah meninggal dunia dengan
izinNya.Terdapat sebahagian dari orang-orang yang kafir tidak mempercayaai mukjizat tersebuat
seraya berkata “bahawa engkau menghidupkan orang yang baru meninggal
dunia,barangkali dia belum betul-betul meningalal dunia”.Kerana itu kami
meminta kamu menghidupkan orang yang telah mati sejak zaman dahulu.Nabi Isa
alaihissalam berkata “pilihlah siapa yang engkau kehendaki”.
Mereka
membawa nabi Isa Alaihissalah kekubur Sam bin Nuh iaitu putera kepada Nabi Nuh
Alaihissalam yang telah meninggal sejak 4000 tahun yang lepas.Nabi Isa
menunaikan soat dua rakat dan berdoa untuk menghidupkan Sam bin Nuh.Maka Allah
swt menghidupkan Sam bin Nuh.Ketika Sam bin Nuh bangun dari kuburnya didapati rabut dikepala dan janggutnya puteh
beruban.Nabi isa beratanya kepadanya “mengapa engkau beruban sedangkan dulu
engkau tidak beruban?Sam menjawab saya mendengar panggilanmu dan saya menyangka
hari kiamat telah tiba.Dengan demikian berubanlah kepala dan janggutku kerana
takut kesibukan hari kiamat”.
Nabi isa
bertanya lagi sejak berapa lamakah engkau meninggal dunia? Sam menjawab “kami
meninggal dunia sejak empat ribu tahun yang lalu sedangkan rasa sakit dan
pahitnya mati masih terasa sehingga kini.
Demikianlah
secebis coretan kisah kematian sebagai nasihat kepada diri kita masing-masing
agar sentiasa berwaspada ketika menjalani sebuah kehidupan dunia yang sangat
singkat berbanding akhirat yang tiada kesudahan.
Selepas
kematian yang berlaku di dunia ini maka tidak ada lagi kematian
selepasnya.Kehidupan selepas mati akan kekal selamanya bahkan kematian itu
sendiri dijelmakan seperti seokor kibash(biri-biri) kemudian disembelih sebagai
isyarat tidak ada lagi kematian selepas itu kerana mati telahpun mati.
Ahli syurga
akan memasuki syurga dan hidup kekal menikmati nikmat syurga buat
selama-lamanya manakala ahli neraka akan memasuki neraka dan menerima siksaan
didalamnya buat selama-lamanya melainkan jika terdapat padanya walau sekelumit
iman di dada akan dikeluarkan dari neraka dan masuk ke dalam syurga Allah swt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan