Manusia
seringkali terleka dan terjebak dengan perkara-perkara yang membinasakan diri
sendiri.Mereka kabur tentang diri sendiri dan matlamat hidup lantaran daripada
kecetekan ilmu pengetahuan dan kelemamahan pandangan mata hati kerana jauh dari
agama sehingga tidak mampu melihat perkara-perkara yg menyelamatkan mereka
didunia mahupun akhirat.
Manusia
juga selalu tertewaskan dengan persoalan umur.Umur yang diibaratkan oleh Imam
Ghazali sebagai modal utama untuk mendapatkan sesuatu samada keperluan yang
mencangkupi kepentingan-kepentigan dunia ataupun ganjaran pahala dan redha
tuhan di akhirat nanti.Umur sepatutnya digunakan semata-mata untuk mendapatkan
redha Allah swt semata-mata.
Bermodalkan
umur yang diberikan inilah seorang manusia yang pandai menguruskan masa dapat
menjadikan dirinya bernilai dan berharga bukan menjadi sampah masyarakat yang dipandang
hina.Orang-orang yang berfikir dengan
baik akan menggunakan masa untuk menambahkan ilmu dan ibadat supaya dia lebih
dekat dengan tuhannya.
Selain
dari persoalan masa yang pastinya akan dipertanggungjwabkan oleh Allah kepada
setiap hamba-hambaNya di Akhirat kelak manusia juga terkalahkan dengan
persoalan harta.Tidak mengambil berat sumber memperolehi harta apatah lagi
membelanjakan pula pada jalan-jalan yang diharamkan pasti akan mengundang murka
dan azab diakhirat selain harta tersebut tidak diberkati olehNya di dunia.
Firman Allah swt dalam surah “Katakanlah (wahai
Muhammad) tidak sama yang buruk dengan
yang baik walaupun banyak yg buruk itu menarik perhatian hatimu.Bertakwalah
kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran,supaya kamu Berjaya” Al
Mukminun ayat 51
Allah
tidak akan menerima kebaikan sedekah yang bersumberkan dari yang haram
sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud “siapa yang
mengumpulkan harta yang haram kemudian mensedekahkannya,maka tidak terdapat
didalammya sebarang ganjaran tetapi dosanya tetap dipikulkan atasnya “.Hadis
riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban di dalam kitab Soheh masing-masing.
Manusia
terpedaya dengan keseronokan harta dunia sehingga melupakan bahawa harta dunia
semata-mata tidak akan mampu membahagiakannya di akhirat apatahlagi jikalau
harta itu dari yang haram.Harta haram akan menyebabkan ampunya harta terhumban
ke neraka.Daripada Jabir Rasulullah bersabda “Tidak akan msuk syurga daging
yang tumbuh dari barang yang haram”.Hadis riwayat ibnu Hibban dalam sohehnya.
Persoalan
lain yang menjadikan manusia tertunduk hina di hadapan Allah nanti ialah
perkara yang berkaitan dengan ilmu yang diamalkan.Terdapat ancaman yang amat
ngeri bagi mereka yang tidak mengamalkan ilmunya dan berlainan antara percakapan dengan perilakunya.
Firman
Allah “patutkah kamu mnyuruh manusia supaya berbuat kebajikan sedangkan kamu
lupa akan diri kamu sendiri padahal kamu semua membaca kitab Allah,tidakkah
kamu berakal?( Al Maidah ayat 68)
Maka benarlah apa yang telah disabdakan oleh Baginda
Rasulullah “Tidak akan bergerak kaki seseorang hamba pada hari kiamat,sehinggalah
dia ditanya tentang lima perkara; tentang umurnya untuk apa dia dihabiskan,
tentang masa mudanya untuk apa ia digunakan, tentang hartanya dari manakah dia
memperolehinya dan untuk apa dia
membelalanjakannya dan tentang ilmunya apakah yang dia amalkan”.(Hadis riwayat
Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini hasab soheh).
Pintu-pintu
keselamatan.
Walau bagaimana keadaan manusia di hadapan
Tuhannya.Keluasan pintu rahmat Allah sentiasa terbuka dan tidak membiarkan
manusia kekal dalam keadaan bersalah selagi mana manusia ingin kembali ke
pangkal jalan setelah jauh tersesat dengan godaan nafsu dunia.Ketuklah pintu
babahagia dan dan jendela keselamatan dariNya.
Terdapat banyak perkara-perkara yang dikira sebagai pintu
penyelamat dan juga perhiasan diri peribadi dan hati nurani sebagai tempat yang
dipandang oleh Allah.Antaranya ialah:
1)Tidak berputus asa
dari memohon kempuanan dariNya (taubat)
Setelah
menyedari bahawa setiap dari hamba biasa pasti akan berdepan dengan risiko kelalaian dan kealpaan
ketika melayari alam bahtera kehidupan di alam fana ini yang terkadang terjebak
juga dengan dosa dan noda semada sengaja atau tidak disengajakan.Makan Allah
tetap memberikan pengampunan kepada sesiapa yang menginginkan pengampunannya.
Allah
memerintahkan kita agar sentiasa bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya
dan tidak boleh sesekali merasa bosan untuk terus bertaubat, sebagaimana kita
tidak pernah bosan dan jemu melakukan perkara dosa maka demikian jugalah kita
tidak sepatutnya berasa mudah jemu dan bosan mengharapkan keampuanan dariNya.
Allah
berfirman di dalam surah Annur ayat 31 yang bermaksud “Dan bertaubatlah kamu
sekelian kepada Allah wahai orang-orang
yang beriman semoga kamu berjaya.
Di
dalam ayat yang lain pula Allah berfirman “wahai orang-orang beriman
bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat nasuha”al Tahrim ayat 8.
Berdasarkan
dua ayat ini maka jelaslah perintah taubat atau kembali ke pangkal jalan
ditujukan khusus kepada orang-orang yang beriman.Bersegera melakukan taubat
merupakan satu tanggung jawab dan kewajipan setelah ternoda dengan dosa
kesalahan dan melewat-lewatkannya dikira suatu kelalaian lain pula.
Syarat-syarat taubat
Al
Imam habib Abdullah Al Haddad menukilakn didalam kitabnya Nasihat-nasihat Agama
Dan Wasiat Iman bahawa taubat bukan hanya sekadar ucapan seseorang hamba dengan
lidahnya “aku memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah semata-mata” tanpa
timbul di dalam hatinya perasaan penyesalan diatas perbuatannya yang lepas dan
meninggalkan dosa-dosa tersebut.
Ulama
telah menggariskan bahawa taubat mempunya syaratnya dan tidak sempurna taubat
seseorang melainkan dengannya.Syarat-syarat tersebut ialah:
1.Menyesal dengan hati atas
dosa-dosa yang telah dilakukan
Dapat juga difahami di sini bahawa
menyesali perbuatan salah yang telah berlaku berkait rapat dengan urusan hati.Hati
memainkan peranan penting dalam hal ini.Sentiasa memohon agar Allah
mengurniakan hati yang lembut.Tidak ada yang dapat melebutkan hati seseorang
melainkan Allah.
2.Meninggalkan
terus dosa tersebut.
Tidak ada taubat bagi orang yg
berterusan melakukan dosa.Meninggalkan perbuatan tersebuat dengan hati yang
tulus ikhlas kerana Allah atau kerana takut kepada kemurkaan Allah.Bukan
meninggalkan dosa disebabkan oleh sebab-sebab yang lain seperti tidak mempunyai
peluang untuk melakukan dosa atau terdapat halangan penguatkuasan undang-undang
.
3.Berazam tidak akan kembali
melakukan dosanya selagi masih hidup.
Mereka yang benar-benar ingin betaubat
hendaklah berazam bersungguh-sungguh dengan kezazaman yang benar tidak mahu
kembali selamanya kepada dosa itu.Jika tiada keazaman sebegini akan memungkin
dia akan terjebak dengan mudah dalam perkara dosa sekalipun dia sudah berusaha
meninggalkannya.
Ketiga-tiga
syarat ini terpakai kepada kesalahan
melibatkan perlanggaran pada hak Allah.Sementara dosa yang berkait dengan hak
manusia maka hendaklah dia meminta maaf atau mengembalikan kezaliman kepada
tuannya.
Sewajarnya
setiap mukmin berwaspada dari melakukan dosa kerana di dalamnya terdapat kemurkaan Allah dan kebencianNya.Ia merupakan sebab
yang mengundang bala dan kemusnahan kepada si hamba samada di dunia atau
akhirat.
2)Memperbanyakkan
Istighfar
Orang yang bijak akan sentiasa memikirkan keselamatannya
di akhirat.Jesteru dia akan selalu bermuhasabah akan kelakuan dan tutur kata
yang diucapkan.Dia akan selalu beristighfar memohon keampunan dariAllah dan
tidak akan membiarkan dirinya diselubungi oleh dosa-dosa tanpa istighfar.
Firman Allah “Dan mintalah ampun kepada Allah
,sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha mengasihani”.Al muzammil :20
Sabda Rasulullah “Sesiapa yang melazimkan istighfar maka
Allah menjadikan untuknya bagi setiap kesedihan tempat keluar,dari setiap
kesempitan jalan keluarnya,dan dia dikurniakan rezki dari sumber yang tidak
disangka-sangka”.Riwayat Abu Daud,Al Nasaei.Ibnu majah dan al Hakim.
Sesungguhnya Baginda Rasul sebagai contoh ikutan dan
idola kaum muslimin telah mengajarkan kepada kita istighfar bukan hanya untuk
mendapatkan pengampunan Allah semata-mata bahkan dengan istighfar menjadi sebab
keluar kegundahan hati yang terhasil daripada kesedihan yang melampau.Baginda
Rasul mengajar kita jalan keluar dari kesempitan hidup dan memperolehi kurniaan rezki yang melimpah ruah dengan sebab
keberkatan istighfar.
Kesedihan hati adalah sifat biasa yang wujud pada manusia
demikian juga sifat takut adalah perkara biasa bagi manusia.Bagaimana manusia
dapat hidup dengan sempurna sekiranya sifat-sifat ini membelenggu dan bermain
di dalam hati.Nah!istighfar inilah jawapannya untuk membuang sifat-sifat
negatif ini.
Sabda Nabi”Dan berbahagialah orang yang didapati didalam
buku catatannya istighfar yang banyak”.Riwayat ibnu Majah.
Memadailah kita mengetahui tentang kelebihan istighfar
kerana manfaat dan faedah-faedahnya sangat besar dan kedudukannya agung di sisi
Allah.Lantaran itulah maka Nabi kita setiap hari dan malamnya beristighfar
tidak kurang dari tujuh puluh kali.
Istighfar Baginda siang dan malam bukan kerana Baginda
melakukan dosa,tidak sama sekali kerana baginda maksum dari semua kesalahan tetapi
Baginda melakukan amalan tersebut kerana menginginkan ketinggian maqam orang
yang selalu beristighfar di sisi Allah.Marilah kita jadikan amalam mulia ini
sebagai amalam rutin dalam kehidupan kita seharian.
Jangan sesekali membiarkan diri kita tidur dengan
berselimutkan dosa disiang hari dan malamnya tanpa disirami dengan air
istighfar.Beruntunglah bagi mereka yang memahami dan mendapatkan pahala istighfar di akhirat
nanti.
3)Raja’dan Khauf
Raja’ ertinya mengharapkan Allah manakala Khauf pula
ialah takut kepada Allah.Kedua-dua sifat ini sangat penting kepada setiap
mukmin yang percaya kepada hari pembalasan kerana keduanya merupakan maqam terpuji.Allah
telah mensifatkan para NabiNya ,para RasulNya, dan pengikut-pengikut mereka di
kalangan orang-orang yang beriman dengan kedua-dua sifat ini.
Firman Allah “Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba
dalam mengerjakan kebaikan,dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan
serta gerun takut ,dan mereka pula sentiasa khusyu’ kepada kami”.Al Anbiaa :90
Sifat raja’ sangat diperlukan kerana ia ibarat seperti
nakhoda yang akan memandu dan membawa tuannya melakukan ketaatan dan perkara-perkara
yang bersesuaian dengan Agama Islam sementara sifat khauf pula seperti pengawal
yang akan mengawal seseorang dari terjebak ke dalam lembah kemaksiatan yang
hina dan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama.
Profesor Dokror Sayyid Muhammad ibnu Alawi Al Maliki Al
Hasani menyebut di dalam kitabnya yang berjudul “Katakanlah Inilah JalanKu”
bahawa sesiapa yang tidak ditegah oleh perasaan khaufnya daripada melakukan
maksiat dan perasaan raja’nya tidak menariknya untuk melakukan ketaatan kepada
Allah, maka khauf dan raja’nya hanyalah perbicaraan nafsu semata-mata ,tidak
dikira dan tidak boleh dijadikan sandaran kerana kosong ia daripada hasil yang
maksudkan dan faedah yang diharapkan.
Terdapat segelintir manusia yang salah memahami makna raja’
kepada Allah sehingga mereka menghadap kepada maksiat dan berterusan berada
dalam keadaan tersebut kerana berpegang dengan keluasan rahmat Allah.Kefahaman
yang salah ini akan menjerumuskan seseorang ke dalam lembah kebinasaan jika dia
tidak berusah memperbetulkan kesilapannya itu.
Tidak kurang juga ramai manusia yang memahami agama
berdasarkan logik akal tanpa bersandarkan ilmu-ilmu yang saheh yang diambilnya
dari sumber yang benar.Agama bukan berasaskan kepada logik akal semata-mata bahkan
hendaklah berpaksikan kepada sumber wahyu melalui Al Quran ,Hadis Nabi dan
pendapat ulama muktabar.
Semoga kita terlepas dari menjadi umat yang tertipu dan
terpedaya dengan sangkaan-sangkaan salah yang akan menggelincirkan kita ke
dalam kehancuran dan kebinasaan.Kepada Allah jua kita bermohon ..Amiin.
4) Bersabar dengan
setiap ujian yang menimpa.
Berasabar di atas setiap sesuatu ujian yang ditimpakan
keatas seseorang manusia oleh Allah juga termasuk dalam antara perkara
menyelamatkan dan besar kelebihannya di sisi Allah.Orang-orang yang beriman
sangat-sangat memerlukan sifat sabar ini samaada ketika senang atau ketika
susah.
Terdapat ayat-ayat dan hadis-hadis yang banyak menyebut
tentang sifat sabar yang berupa suruhan atau galakan.Antaranya firman Allah
“Wahai sekelian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan untuk (menghadap
susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Allah) dengan bersabar dan
dengan mengerjakan solat kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong)
orang-orang yang sabar”.Al Baqarah 153
Firman Allah “Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang
sabar”.Aali Imraan146
Allah berfirman kepada
Nabinya “dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah
golongan yang ingkar itu) dan tiadalah terhasil kesabaranMu melainkan dengan memohon
pertolongan Allah”.
Orang beriman amat
memerlukan kesabaran terutamanya di saat menghadapi ujian yang datang kepadanya
samada berupa bala bencana, musibah,kesempitan dan kesusahan hidup agar dia
tidak akan mengeluh bahkan dapat menghadapinya dengan tenang serta bersangka
baik dengan Allah.
Orang mukmin sentiasa yakin setiap sesuatu yang
didatangkan kepadanya dari Allah pasti aka ada kebaikan-kebaikan yang begitu
banyak.Allah tidak akan menguji hambanya dengan zahir musibah melainkan akan
menjadikannya dengan zahir musihah itu penghapusan dosa dan kejahatannya.Tidak
akan tertimpa sesuatu kesulitan kepada orang yang beriman sehinggakan duri yang
tertusuk di kaki melainkan Allah akan menghapuskan dosa dan kesalahannya.
Kita tidak akan selamanya mengetahui sejauh mana dan
setinggi mana kesabaran yang ada pada diri kita selagi kita tidak diuji dengan
ujian-ujian musibah ini.Senang bagi kita menenangkan orang yang ditimpa ujian
tetapi tidak senang bagi orang menanggung sendiri kesusahan di atas bahu sendiri
ibarat bahu yang meminkul lebih berat dari mata yang memandang.
Jesteru itulah Allah menjanjikan pahala yang besar dan
kedudukan yang tinggi kepada mereka yang mampu bersabar dia saat dia
diuji.terkadang ujian datang dalam bentuk harta, terkadang dalam bentuk
keluarga dan tidak kurang juga dalam bentuk kesakitan.
Firman Allah “sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja
yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.
Itulah sebahagian dari sifat-sifat yang perlu dimiliki
oleh orang-orang yang beriman sebagai
perhiasan diri peribadi.Selagi mereka memakai pakaian taubat,mereka berhias
dengan gemerlapan perhiasan istighfar,mereka mamacu langkah dengan kaki
kesabaran di samping meletak pengharapan
yang tinggi kepada rahmat Allah seimbang dengan kerisauan kepada azab Allah
nescaya mereka akan terus mendaki
puncak-puncak keselamatan dan kebahagian yang kekal abadi di sisi Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan