Isnin, 21 Oktober 2013

Menerima kematian sebagai takdir.



Menerima kematian sebagai takdir.
            Segala puji-pujian bagi Allah swt yang memiliki setiap kerajaan langit dan bumi.Di tanganNya segala kekuasaan ,Allah adalah zat yang maha berkuasa menentukan segala sesuatu tanpa ada bantahan dan bangkangan.Dialah yang menjadikan hidup dan mati sebagai ujian kepada hamba-hambanya bagi melihat siapakah diantara mereka yang terlebih baik amal perbuatannya.
            Kematian adalah suatu hal yang pasti terjadi kepada setiap makhluk yang bernyawa tanpa ada yang terkecuali dan tidak ada diantara mereka yang dapat mengetahui bilakah saat dan ketikanya kematian  akan datang menjemputnya.Sebagai hamba yang beriman wajib mempercayai saat-saat tersebut dan wajib pula mempercayai akan perkara-perkara yang akan berlaku selepas itu.
            Kematian akan memutuskan segala kenikmatan-kenikmatan dunia dan akan meninggalkan kemewahan dan kekayaannya begitu juga dengan sebab kemtian yang berlaku akan memutuskan sekelian kegiatan hidup manusia.Berbahagialah mereka yang selalu mengingatinya dan selalu bersedia dengan segala persiapan amal oleh bagi menghadapinya.Kematian adalah suatu hakikat yang padanya kita dapat mengambil pelajaran yang sangat berguna.kita tidak akan terperosok dalam kemabukan dunia yang hina jika kita benar-benar ingat akan kengerian kematian bagi yang melakukan dosa.


1)Semua yang bernyawa pasti akan merasai kesensaraan sakaratul maut.
            Setiap yang bernyawa secara pasti akan melalui dan merasai sendiri pengalaman berhadapan dengan kematian.Allah swt tidak menjadikan dikalangan makhluknya hidup kekal buat selama-lamanya.Di dalam al quran Allah berfirman “Kami tidak menjadikan bagi manasia sebelummu hidup kekal,maka jikalau kamu ( wahai Muhammad) mati apakah mereka akan hidup kekal selamanya?(surah al an a’am 34)
            Ayat diatas secara jelas dan terang menyatakan bahawa tidak ada seorang manusiapun sejak dari dulu yang dapat hidup kekal.Kematian ini bukan hanya berlaku kepada manusia sahaja bahkan juga kepada setia yang bernyawa sebagaimana yang di nyatakan dalam firmanNya “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati,kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya).Dan hanya kepada kamilah kamu akan dikembalikan.(al anbia 35)


2)Tiada kuasa yang dapat menunda dan mempercepatkan ajal.
            Persoalan bilakah dan dimanakan ajal kematian akan tiba tiba tidak ada seorangpun yang dapat mengetahuinya.Sama juga  seperti bilakah akan berlakunya kiamat,tidak ada seorangpun yang mengetahui melainkan Allah swt sahaja.
            Apa yang lebih penting dari mencari jawapan bagi persoalan bila dan dimana ialah membuat persiapan rapi bagi menghadapinya.Manusia sering terlalai dengan kehidupan dunia seakan-akan persoalah dan hakikat mati tidak ada kene mengena denganya sedangkan usianya pada ketika itu ibarat berada dihujung senja.
            Perhatikan kepada apa yang difirmankan oleh Allah swt “apabila telah datang ajal mereka,maka mereka tidak dapat menangguhkan barang sesaatpun dan tidak pula mereka  dapat mempercepatkan”.(yunus 49)
            Jesteru  kemanapun manusia pergi bersembunyi dan menjauhkan diri atau lari dari kematian.Jika telah sampai masanya telah tiba maka kematian itu akan menemuinya dan meragut nyawanya.Hal ini sesuai dengan firman Allah swt “katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari darinya,maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu,kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah swt. Yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata lalu dia akan beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”.(al jumuah ayat 8)
            Terimalah hakikat pertemuan itu.Sesungguhnya tidak ada kuasa yang mampu menghalang dari terjadi.Benarlah sebagaimana yang difirmankan dalam hadis kudsi “wahai manusia! Mati itu adalah sebuah pintu.Setiap manusia pasti akan memasukinya.
            Bagaimana carapun kita cuba untuk menghindarkan diri dari kematian,namun kematian tetap akan datang menemui kita jika telah sampai saatnya.Manusia tidak akan sanggup menolak kedatangannya.

3)Keutamaan mengingati mati.
            Sesungguhnya mengingatkan kematian dan merenung kepada perkara-perkara yang berlaku selepasnya sangat besar manfaat dan faedahnya kepada jiwa manusia.Terdapat banyak hadis-hadis yang menerangkan tentang maksud demikian.Antaranya kita dapat melihat hadis yang diriwayat oleh Tirmizi “Perbanyakkanlah kalian mengingat akan sesuatu yang akan melenyapkan segala macam kelazatan dunia”.
            Jelasnya  perkara yang melenyapkan ketamakan dan keinginan berlebihan kepada nikmat dunia yang di maksudkan didalam hadis diatas ialah mati.Seseorang yang sentiasa berfikir tentang mati akan hidup dalam kewaspadaan dan tidak terseret dengan permainan dan tipudaya duniawi.
            Kenikmatan dunia dan keronokannya yang di kejari pasti suatu masa nanti akan ditinggalkan tanpa membawanya walau sedikit apatah lagi jika dunia dan harta yang diperolehi dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syariat.Pastinya kemewahan dunia yang tidak halal itu akan menatijahkan kedukaan berpanjangan diakhirat kelak.
            Manusia seringkali terpedaya  dengan permainan dunia ini sehingga dunia diletakkan ditempat yang paling tinggi sekali.Manusia sanggup memutuskan pertalian keluarga,seorang sahabat menghianati sahabat,pemimpin sanggup memperbodohkan rakyatnya sendiri,anak-anak tidak ada masa untuk kedua ibubapa sendiri bagi menyumbang dan menghulurkan bakti,dan bermacam-macam ragam lagi kita dapat saksikan dengan mata kepala kita hari ini.Dari sini boleh kita ambil satu kesimpulan bahawa segala punca masalah dan kepincangan sistem hidup manusia adalah kerana mereka merasakan bahawa mereka akan kekal hidup selamanya.
            Orang yang cerdik sebagaimana yang disifatkan oleh Baginda Nabi saw ialah orang yang banyak mengingati mati.Sabda Nabi “secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yag terbanyak ingatannya kepada persiapan menghadapi kematian itu.Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik.Dan mereka akan pergi ke alam baqa dengan membawa kemulian akhirat”.(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abi Dunia)
            Ahli cerdik pandai Islam membahagikan manusia dalam mengurus kehidupan dunia terbahagi kepada tiga kategori.
1.Orang yang terseret ke dalam dunia.
2.Orang yang sedar dari kesilapan lampau lalu terus bertaubat.
3.Orang yang hidup dalam kesedaran berterusan.
            Manusia yang termasuk dalam bahagian pertama itu ialah golongan yang telah tenggelam dan larut dengan keindahan dan kenikmatan dunia semata-mata.Mereka ini tidak akan melepaskan dunia ditangannya walau apa keadaan sekalipun kerana mereka merasa puas dengannya.Kebiasaannya manusia seperti ini jarang sekali mengingat akan mati.Jika ada saat-saat mereka ingat kepada kematian maka ingatan tersebut tidak banyak membantu untuk mereka berubah kearah keinsafan dan berataubat kembali ke pangkal jalan.
            Mereka ini menyesali kematian kerana dengan kematian akan menyebabkan mereka terpaksa berpisah dengan harta benda dunia yang mereka kumpulkan sejak sekianlama.
Mereka berduka kerana harta mereka terlepas ketangan orang lain.Orang yang seperti ini akan mencela kematian disaat dia mengingat akan kematian sementara mereka akan berusaha sedaya mungkin untuk lari dari kematian.
            Golongan yang kedua pula ialah orang yang menjadikan ingatannya kepada kematian sebagai sebab terbukanya pintu hatinya untuk bertaubat kepada Allah swt terhadap keterlanjuran dan kesilapan masa masa lampau.Golongan ini akan memperbanyakkan mengingati mati supaya mereka lebih tekun bertaubat dan menambah amalan soleh sebagai bekalan hari akhirat.
            Kebahagiaan dan kesenangan yang dicari adalah kebahagiaan akhirat yang lebih hakiki.Mereka akan lebih bersemangat dalam hal urusan akhirat berbanding dengan hal-hal bersangkup paut dengan dunia.Segala tindak-tanduk  meraka akan berlandaskan kepada ketakwaan dan kepatuhan mereka kpd Allah swt.
            Manakala golongan yang ketiga ialah golongan yang sentiasa terus menerus berada dalam keadaan sedar dan mengetahui terletaknya persoalan kematian.Mereka ini akan sentiasa ingat kematian dan tabah menghadapinya dengan hati yang pasrah dan redha.Golongan ini sentiasa hidup dengan membuat persiapan dengan amal perbuatan yang soleh.
4)Bekalan mengahadapi kematian.
            Setiap manusia yang hendak bermusafir ke sesuatu tempat samada dekat atau jauh perjalanan tersebut  pastinya akan menyediakan atau membawa bersamanya bekalan untuk kegunaan keperluan dirinya di sepanjang perjalanan.Tanpa membawa sesuatu sebagai bekalan akan mengundang kesukaran dan mungkin berjalanan permusafiran tersebut akan tertangguh dan kelewatan dari apa yang telah dijadualkan.
            Demikianlah perjalanan menuju hari akhirat yang memerlukan banyak bekalan kerana perjalanan akhirat memakan masa yang sangat panjang.Apakah bekalan yang akan dibawa bersama nanti,adakah dengan sejumlah wang yang banyak, perhiasan megah,anak yang ramai atau isteri yang cantik?Jawabnya tidak sama sekali bahkan yang akan dibawa ialah amal perbutan sendiri.
            Baik buruknya nanti bergantung kepada amalan yang telah dilakukan semasa hidup di dunia.Bekalan yang sangat perlu dipersiapkan oleh setiap manusia untuk dibawa bersama nanti tidak lain dan tidak bukan seperti mana yang telah disabdakan oleh Nabi saw.Baginda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh muslim yang bermaksud “Apabila mati seorang anak Adam(manusia) akan terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara.

1.Ilmu yang bermanfaat dengannya.
2 .Sedekah jariah(berkekalan)
3.Atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.
            Menurut keterangan hadis diatas jelas sekali bahawa amalan bekalan yang akan menyelamatkan manusia di akhirat kelak ialah tiga perkara.Ilmu,sedekah dan anak yang soleh.Ketiga-tiga amalan ini tidak akan putus sekalipun ampunya amal telah meninggal dunia ribuan tahun.Adapun amalan-amalan soleh yang lain akan terputus(terhenti) dengan sebab matinya ampunya amal.
            Ketiga-tiga amalan yang tidak putus ini sangat perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh selagi masih diberikan peluang untuk hidup di dunia ini.Jangan sesekali kita menangguhkan dan melewat-lewatkan sehingga tibanya hari penyesalan yang sudah tidak bermakna dan berguna sebarang  penyesalan.
            Seeloknya marilah kita bermuhasabah dimana kita dengan peringatan ayat Allah swt yang bermaksud “Dan belanjalah sebahagian dari apa yang telah kami berikan kepadamu sebelum datangnya kematian kepada salah seorang diantara kamu.Lalu ia berkata “ ya tuhanku kenapa engkau tidak menangguhkan (kematianku)sampai tempuh yang dekat,yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku temasuk oranr-orang yang soleh.Dan Allah sekali-kali tidak menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya.Dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”.(al Munafikun 10-11)
            Inilah diantara contoh ayat Allah swt. yang menceritakan penyesalan orang yang kedekut dengan harta yang dipinjamkan oleh Allah kepadanya semasa hidup dunia.Penyesalan ini dizahirkan dengan permintaan mereka ingin kembali kedunia semata-ingin beramal soleh dan bersedekah.
            Mereka menyesal kerana diberikan harta tetapi harta yang mereka miliki tidak dapat membantu dan meyelamatkan mereka daripasa siksaan hari akhirat bahkan harta itulah juga yang menjadikan bebanan azab yang tidak terperi sakitnya yang terpaksa ditanggung oleh mereka.Penyesalan hanya tinggal penyesalan kerana Allah telah menyatakan sebarang sesalan dan permohonan pada hari itu tidak akan dilayan sama sekali.
            Firman Allah dalam surah al Mukminun yang bermaksud “(demikianlah keadaan orang-orang kafir) hingga datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata:wahai Tuhan! Kembalikanlah aku kedunia sepaya aku berbuat amal yang soleh yang telah aku tinggalkan.Sekali-kali tidak.Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkan saja.Dan dihadapan mereka ada dinding pemisah (alam barzakh) sehingga sampai hari mereka dibangkitkan”.
            Ingatlah juga kepada pesanan Nabi saw yang tercinta buat umatnya yang dicintai melalui hadis riwawat Muslim “Tiga perkara yang akan mengikut orang yang mati keperkuburan.Keluarganya,dan hartanya, dan amalannya.Maka akan kembali dua darinya(keluarga dan harta)dan akan kekal bersamanya satu iaitu amalanya.
5)Sakitnya mati sebagai peringatan.
            Setiap orang yang berkeyakinan dengan adanya mati dan tahu bahawa mati tetap akan sampai kepadanya maka hendaklah dia membuat persiapan dan bersedia  dengan segala persiapansegabgai bekalan yang cukup dan rapi bagi menghadapinya disamping menjauhi amalan-amalan buruk dan keji yang mengundang murka Allah kepadanya.
            Pada hakikatnya tidak ada sesiapapun yang mengetahui bilakah dia akan dimatikan dan tidak juga mengetahui dimana dan siapakah yang akan berada di sisinya di saat dia berada dalam sakaratul maut.
            Sesungguhnya Rasulullah  telah menerangkan tentang betapa sakit dan pahitnya mati sebagai nasihat berguna buat umatnya agar mereka menyediakan bekal dan agar mereka dapat bersabar kesakitan-kesakitan dunia yang mereka alami kerana kesakitan di dunia ini lebih ringan dari kesakitan akhirat.
            Rasululullah saw menerangkan bahawa sakit mati adalah sebahagian dari azab akhirat sedangkan azab akhirat jauh lebih berat dari kesengsaraan hidup di dunia.seseungguhnya kadar ukuran sakitnya mati atas atas orang mukmin itu adalah kira-kira seperti tiga ratus pukulan dengan pedang.
            Diceritakan bahawa Nabi Isa Alaihissalam adalah seorang nabi yang dianugerahkan mukjizat dari Allah dapat menghidupkan orang yang telah meninggal dunia dengan izinNya.Terdapat sebahagian dari orang-orang yang  kafir tidak mempercayaai mukjizat tersebuat seraya berkata “bahawa engkau menghidupkan orang yang baru meninggal dunia,barangkali dia belum betul-betul meningalal dunia”.Kerana itu kami meminta kamu menghidupkan orang yang telah mati sejak zaman dahulu.Nabi Isa alaihissalam berkata “pilihlah siapa yang engkau kehendaki”.
            Mereka membawa nabi Isa Alaihissalah kekubur Sam bin Nuh iaitu putera kepada Nabi Nuh Alaihissalam yang telah meninggal sejak 4000 tahun yang lepas.Nabi Isa menunaikan soat dua rakat dan berdoa untuk menghidupkan Sam bin Nuh.Maka Allah swt menghidupkan Sam bin Nuh.Ketika Sam bin Nuh bangun dari kuburnya  didapati rabut dikepala dan janggutnya puteh beruban.Nabi isa beratanya kepadanya “mengapa engkau beruban sedangkan dulu engkau tidak beruban?Sam menjawab saya mendengar panggilanmu dan saya menyangka hari kiamat telah tiba.Dengan demikian berubanlah kepala dan janggutku kerana takut kesibukan hari kiamat”.
            Nabi isa bertanya lagi sejak berapa lamakah engkau meninggal dunia? Sam menjawab “kami meninggal dunia sejak empat ribu tahun yang lalu sedangkan rasa sakit dan pahitnya mati masih terasa sehingga kini.
            Demikianlah secebis coretan kisah kematian sebagai nasihat kepada diri kita masing-masing agar sentiasa berwaspada ketika menjalani sebuah kehidupan dunia yang sangat singkat berbanding akhirat yang tiada kesudahan.
            Selepas kematian yang berlaku di dunia ini maka tidak ada lagi kematian selepasnya.Kehidupan selepas mati akan kekal selamanya bahkan kematian itu sendiri dijelmakan seperti seokor kibash(biri-biri) kemudian disembelih sebagai isyarat tidak ada lagi kematian selepas itu kerana mati telahpun mati.
            Ahli syurga akan memasuki syurga dan hidup kekal menikmati nikmat syurga buat selama-lamanya manakala ahli neraka akan memasuki neraka dan menerima siksaan didalamnya buat selama-lamanya melainkan jika terdapat padanya walau sekelumit iman di dada akan dikeluarkan dari neraka dan masuk ke dalam syurga Allah swt.